19Ogos2017

BN akan kekal berkuasa selepas PRU14 kata diplomat Singapura

Barisan Nasional akan kekal berkuasa di Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang berikutan status quo di Sabah dan Sarawak serta sokongan orang Melayu di Malaysia Barat, lapor Straits Times.

Begitu kesimpulan wacana ST Global Forum “PRU Malaysia akan datang: Bahaya dan Prospek” di Singapura semalam.

“Saya tidak fikir ia akan menjadi lebih teruk daripada keputusan pilihan raya yang diperoleh Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak dan parti BN pada 2013.

“Mengenai pengundi Melayu pula, saya fikir mereka akan berpegang dengan apa yang mereka tahu,” kata Ong Keng Yong, diplomat di kementerian luar negeri Singapura dan bekas pesuruhjaya tinggi ke Malaysia.

Seorang lagi ahli panel, Pengarah Merdeka Centre Ibrahim Suffian yang bersetuju dengan pendapat itu berkata walaupun populariti Najib masih rendah, BN kekal sebagai jenama dipercayai dalam kalangan pengundi Melayu.

Menurut akhbar Singapura itu, ahli panel termasuk Ketua Penyelidikan dan Strategi Perbendaharaan Bank OCBC Selena Ling berpendapat skandal berbilion dolar dan urusjanji dengan China tidak akan memberi kesan kepada majoriti pengundi.

Ibrahim berkata ramai rakyat Malaysia sudah tidak menghiraukan lagi isu 1MDB yang “menghampiri status sejarah”.

“1MDB kini hanya dirasakan sebagai sebahagian daripada kelemahan kepimpinan,” katanya.

Ong percaya kes yang timbul berhubung dakwaan yang dikaitkan dengan 1MDB di negara lain, termasuk Singapura, Amerika Syarikat dan Switzerland, hanya menjejaskan kedudukan Kuala Lumpur dari sudut pandang antarabangsa, namun ia “tidak memudaratkan Najib atau Umno” di dalam negara.

Sementara itu, Ling memberitahu dalam forum data ekonomi Malaysia sihat, tetapi ia juga akan memberikan kesan minimum.

“Dalam pilihan raya, pengundi hanya akan menitikberatkan isu kehidupan harian. Mereka mengundi bukan kerana pertumbuhan 5% atau kurang daripada 5%, “katanya.

Ahli panel bersetuju cabaran terbesar Najib adalah mengatasi ketidakpuasan hati mengenai kos sara hidup, GST dan nilai ringgit rendah yang memberi kesan kepada harga barang.

Hakikatnya keadaan masih teruk menurut Ibrahim yang bercakap mengenai kesusahan rakyat, baik muda mahupun tua.

“Golongan muda bimbang tentang mencari pekerjaan yang baik, pasangan yang berkahwin bimbang akan kemampuan mereka membeli rumah dan kenaikan gaji, sementara kebanyakan pesara tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk menampung diri,” katanya dipetik ST.

Najib diramalkan akan mengumumkan tarikh PRU14 pada suku terakhir tahun ini atau awal tahun depan.

Bagaimanapun, perdana menteri mempunyai masa hingga Jun depan untuk membuat keputusan mengenai bila beliau akan membubarkan Parlimen.

Perlembagaan Persekutuan menyatakan pilihan raya umum perlu diadakan apabila Parlimen dibubarkan atau ia mencapai tempoh maksimum 5 tahun.

Parlimen sekarang bermula pada 24 Jun 2013 dan secara automatik ia akan dibubarkan pada 24 Jun 2018.

Memandangkan pilihan raya umum perlu diadakan dalam 2 bulan selepas Parlimen dibubarkan, ini bererti pilihan raya umum akan datang berkemungkinan jatuh pada 24 Ogos 2018.-15/6/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 648  tetamu dalam talian