19September2018

Kerajaan Pakatan akan tumbang di Selangor - PAS

Parti mana yang perintah Selangor tak tahu lagi... tapi PAS yakin bahawa Pakatan Harapan (PH) akan tumbang kerana kezalimannya kepada parti itu.

PAS yang merupakan sebahagian daripada ADUN kerajaan negeri dinafikan peruntukkan ADUN oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tindakan itu kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi memalukan serta menafikan hak 13 wakil rakyat PAS di negeri itu.
 
"Hari ini kita (wakil rakyat) dinafikan mendapat peruntukan Kerajaan Negeri Selangor. PAS Selangor sama dengan PAS Terengganu yang tidak mendapat peruntukan kerajaan negeri masing-masing.
 
"Mungkin Azmin Ali (Menteri Besar) berfikir dengan dia tidak beri peruntukan kepada kita, jadi payah untuk kita hendak jinakkan hati orang. Maknanya, dia (Azmin) tidak bergantung kepada Allah tetapi bergantung dengan duit, dengan makhluk.
 
"Sambutan Karnival 10 tahun pentadbiran Pakatan Rakyat yang kini PH. Semua Exco diberikan ruang dan peluang untuk bercakap tentang kejayaan-kejayaan yang lalu sampai hari ini kecuali Exco-exco daripada PAS.
 
"Sedangkan, dia minta peruntukan kelulusan kerajaan negeri sebanyak RM612,000 untuk buat program itu. Tiga orang Exco kita dimalukan dalam program itu. Kita masih lagi dalam kerajaan Selangor tetapi tidak diberikan peruntukan dan ini tidak berlaku dalam sejarah," katanya dipetik Harakahdaily.
 
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kemaman Kali Ke-58 di Dewan Mujamma Pusat Pangajian Taman Islam, di sini kelmarin.
 
Sallehen yang juga ADUN Sabak mengingatkan mengenai sejarah kejatuhan Kerajaan BN Selangor di mana tindakan Dr Mohamad Khir Toyo mantan Menteri Besar memalukan pegawai kerajaan dengan hadiah penyapu dibenci oleh rakyat.
 
"Saya teringat zaman Khir Toyo diakhir menjadi Menteri Besar Selangor tempoh hari. Khir Toyo menghadiahkan penyapu kepada seorang Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Hulu Selangor.
 
"Seluruh rakyat menjadi benci dengan perangai Khir Toyo kerana itu satu penghinaan. Seorang pegawai kerajaan dihina oleh Khir Toyo, Barisan Nasional tumbang di Selangor.
 
"Hari ini, 13 orang wakil-wakil rakyat PAS dan Exconya dimalukan oleh PKR, PH. PH juga akan tumbang di negeri Selangor, InsyaAllah," ujarnya disambut laung takbir hadirin.
 
Menurutnya, perjuangan PAS tidak bergantung harap kepada manusia semata-mata tetapi yakin dengan pertolongan Allah SWT.
 
Sebenarnya, kata Sallehen lagi, duit tidak dapat menjinakkan hati-hati manusia tetapi Allah S.W.T yang boleh menjinakkan hati-hati manusia.-21/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 964  tetamu dalam talian