18November2017

Himpunan gagal kerana Mahathir bukan crowd puller...

Himpunan anti kleptokrasi yang tidak mendapat sambutan di Padang Timur, Petaling Jaya kelmarin membuktikan kegagalan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir Mohamad sebagai 'crowd puller'.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, himpunan itu dianggap gagal dengan jumlah kehadiran orang ramai yang kecil dan ia jelas tanpa penyertaan PAS, bilangan peserta yang dianggar 100,000 jauh lebih kecil.

“Perhimpunan Sayangi Malaysia Hapus Keptokrasi gagal mencapai matlamat. Bersih 5 juga gagal, apabila PAS memulaukannya. Nampak sangat Tun Mahathir bukan crowd puller,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Puad berkata, kehadiran orang ramai yang sedikit itu disedari pemimpin pembangkang lalu mengelak daripada menjawab pertanyaan media, ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

“Kesian Mat Sabu (Mohamad Sabu). Sebagai perancang utama perhimpunan, Mat Sabu macam orang pekak bila ditanya media kenapa orang tak ramai.

“Azmin Ali (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) datang waktu petang tetapi tidak berucap. Malam langsung tidak nampak muka walaupun Selangor adalah tuan rumah,” katanya.

Menurutnya, Mahathir gagal menarik orang ramai, malah ucapannya hambar sehingga ramai yang berlalu pulang.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun berkata parti-parti di bawah pakatan tiada pendirian kukuh, tanpa arah dan tanpa pemimpin utama.

Katanya, pemimpin pakatan tersebut pada masa sama juga berusaha mengheret rakyat ke kancah politik zaman batu.

“Apabila Malaysia cuba menangani polarisasi dalam masyarakat, Mahathir terus menerus cuba mengheret kita kembali ke dalam politik zaman batu dengan membuat serangan peribadi terhadap pemimpin negara,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Khairul Azwan juga menegaskan, sehingga ke hari ini pakatan itu masih belum dapat memberikan jawapan yang kukuh mengenai siapa calon Perdana Menteri mereka.

“Pakatan tersebut tiada perancangan komprehensif mengenai perkara yang mahu dilakukan sekiranya mereka berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan,” jelas beliau.

Pada masa sama, Khairul Azwan mengingatkan DAP memegang jumlah kerusi terbanyak di Parlimen berbanding parti komponen lain pakatan itu.

Beliau mendakwa, Mahathir hanyalah boneka DAP yang mempergunakannya untuk memenangi hati pengundi Melayu.

“Begitu juga dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, hanya berani bertanding di kerusi kawasan selamat jajahan DAP,” ujar beliau.-17/10/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 950  tetamu dalam talian