28Jun2017

Apa khabar Saiful Bukhari dan Nik Suryani...?

Ingatkah lagi kepada wartawan TV3, Nik Suryani Megat Deraman yang suatu ketika dahulu mencetuskan kontroversi apabila bertanyakan mengenai jam Omega kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan suaminya Mohd Saiful Bukhari Azlan ?

Walaupun ramai yang merasakan pasangan yang kini sedang menantikan kelahiran anak kedua itu senyap selepas mendirikan rumah tangga, namun sebenarnya mereka aktif dibelakang tabir.

Nik Suryani walaupun sibuk dengan perniagaannya Nang Surya House of Beauty, tetapi masih lagi melakukan kerja-kerja media di belakang tabir.

"Selepas berkahwin, saya ambil keputusan untuk berhenti kerja dan kini tumpuan seratus peratus kepada perniagaan. Tetapi saya tidak terus hilang dari bidang media, saya menggunakan pengalaman yang lebih sepuluh tahun yang diperolehi dalam media untuk menjadi perunding kepada mereka yang ingin menceburi bidang ini.

"Saya tak hilang. Saya masih melakukan kerja media dibelakang tabir. Dan, insyaAllah, selepas melahirkan anak yang kedua, dijangka pada Mac depan, saya akan buat 'come back'," kata Nik Suryani kepada Agenda Daily ketika ditemui di gerai jualan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 di PWTC.

Mohd. Saiful yang tidak lokek dengan senyuman itu turut mengatakan isterinya telah menerima beberapa tawaran daripada beberapa stesen televisyen, dan tidak menghalangnya untuk kembali ke bidang media.

"Dia (Nik Suryani) ada dapat beberapa tawaran untuk kembali dalam bidang media. InsyaAllah, selepas melahirkan anak, dia akan kembali 'beraksi'. Mungkin sebagai separuh masa sahaja kerana sibuk dengan perniagaan yang dijalankan ketika ini," katanya.

Bercakap mengenai Nang Surya House of Beauty, ibu kepada Yusuf Bukhari bin Mohd Saiful Bukhari berkata, idea mula timbul selepas berhenti kerja dalam bidang kewartawanan.

"Saya dan suami puas fikir bisnes apa yang nal dibuat. Saya ni minat beg tangan, jadi saya rasa kenapa tidak saya buat bisnes beg tangan? Pada permulaannya, memang penjualan berjalan agak perlahan, namun setelah memasuki tahun kedua ini, penjualan semakin rancak.

"Selain beg tangan yang direka oleh saya, kami juga menjual songket dan batik. Songket dan batik bukan perkara baru dalam keluarga saya kerana susur galur saya memang menjalankan perniagaan songket dan batik, jadi ia bukan perkara (berniaga) asing buat saya. Cuma saya yang terjebak dalam bidang media," katanya sambil tergelak kecil.

Kini, produk Nang Surya House of Beauty bukan sahaja menjadi pilihan rakyat Malaysia, bahkan sudah tersebar meluas ke Singapura, Brunei dan United Kingdom.

"Mungkin inilah kebaikan teknologi yang kita ada sekarang ini. Produk kami tersebar meluas melalui instagram dan facebook," katanya.

Memandangkan di Kuala Lumpur sudah banyak butik yang tumbuh bagai cemdawan selepas hujan, pasangan ini mengambil keputusan untuk membuka kedai di Terengganu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai politik negara yang sedang berlaku sekarang ini, Mohd. Saiful mengambil pendekatan yang mudah.... 'politik tak penah surut'.

"Itu merupakan asam garam. Saya berharap perhimpunan kali ini berjalan lancar dan aman sejaligus mampu mencetuskan semangat bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.

"Saya bercakap bukan sebagai ahli UMNO, tetapi sebagai rakyat yang mengharapkan agar negara ini kekal ditunjangi oleh UMNO," katanya.-1/12/2016


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 751  tetamu dalam talian