17Oktober2017

Awie tunaikan impian peminat OKU... kejutan di restoran McDonalds

EKSKLUSIF Bermula dengan luahan seorang pekerja Orang Kelainan Upaya (OKU)  Nabil Rosli secara tidak sengaja kepada wartawan Agendadaily Noor Hasilah Ismail ingin bertemu dengan idolanya penyanyi tersohor Awie, siapa jangka hampir setahun kemudian impian itu menjadi kenyataan.

Dengan bantuan dan usaha berbagai pihak, pada Selasa, Nabil dikejutkan dengan kunjungan Awie di restoran McDonalds tempat beliau bekerja di Puncak Alam.

Sebelum ini sering kali beliau tertanya-tanya kepada kepada ibunya, Siti Khadijah Hashim "Bila agaknya dapat peluang jumpa Awie?"

Dan semalam semuanya menjadi kenyataan. Impian seorang anak yang tidak menyerah kepada nasib ditunaikan.

Berikut disiarkan catatan Noor Hasilah Ismail mengenai peristiwa yang memberi makna besar kepada kita semua itu.



Begitu mendalamnya minat Nabil terhadap penyanyi tersohor itu sehingakan dia turut meluahkan hasratnya itu ketika saya menemuramahnya Mei tahun lalu.

(Temuramahnya di sini:  http://www.agendadaily.com/Dalam-Negeri/mcdonald-s-buka-pintu-kepada-oku.html)

Temuramah itu bertujuan menceritakan pengalaman Nabil sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) bekerja di McDonalds.

Tanpa diduga temuramah yang turut meluahkan hasrat Nabil itu menjadi viral di media sosial terutama Facebook. Ia turut dikongsi di akaun FB Awie.

Pada masa sama, saya sendiri telah menyampaikan hasrat Nabil kepada Awie yang kini bergelar Datuk. Tetapi ketika itu Awie berkata jadualnya terlalu padat dan dia berjanji akan cuba menunaikan satu hari nanti.



Hari silih berganti dan nampak gaya hasrat Nabil tidak akan kesampaian sehinggalah pada jam 2 petang Selasa, apabila pembantu Awie menelefon staf McDonald's Puncak Alam, Amirul (salah seorang peminat Awie yang memviralkan kisah Nabil di FB).

Beliau memberitahu Awie akan ke sana lewat petang tetapi mesti dirahsiakan daripada pengetahuan Nabil.

Ibu Nabil yang ketika itu menemani anaknya berlatih di Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa berbohong untuk mengajak Nabil kembali ke tempatnya bekerja kerana "diarah" bertugas "lebih masa".

Awie tiba kira-kira 7 malam ditemani pengurusnya, Gavin Singh.

Apa lagi, Nabil terkedu sebaik terpandang idolanya di depan mata sehingga lidahnya kelu tak dapat berkata. Dia menangis sebaik sahaja Awie memeluknya.

Dalam pertemuan itu Awie memberikan nasihat dan kata-kata semangat serta meminta Nabil berusaha keras supaya dapat mewakili negara dalam Sukan Paralimpik akan datang.

Awie kemudian mengajak Nabil menyanyi bersama-sama lagu Terima Kasih dan Tragedi Oktober.



"Tak sangka abang Awie peluk Nabil. Nabil akan ingat pesan abang Awie sampai bila-bila. Nabil berjanji akan berlatih bersungguh-sungguh untuk melayalkan diri ke Sukan Paralimpik 2020," kata Nabil selepas pertemuan itu.

Ayah Nabil, Rosli Baharom yang turut menyaksikan pertemuan bersejarah itu, juga terharu dan teruja.

"Kami terkejut dan berbesar hati bila Datuk Awie sanggup datang jauh untuk memenuhi hasrat anak kami. Rasa terharu bila tengok Nabil menangis dipeluk idolanya," katanya.

"Saya ingatkan dia sombong. Saya tak sangka Datuk Awie sangat peramah, penyayang dan merendah diri. Lega rasanya kerana selepas ini Nabil tak perlu bertanyakan bila nak jumpa Awie," luah Siti.

Walaupun hanya dapat meluangkan masa yang singkat, tetapi kemunculan Awie telah menceriakan semua staf dan pengunjung McDonald's Puncak Alam yang turut berebut minta autograf dan berselfie dengannya. - 7/2/2017. OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 580  tetamu dalam talian