26Jun2017

Mengintai YB Budiman dan Mastura di Dewan Rakyat…

Berbeza dengan kebiasaan,majlis ringkas angkat sumpah jawatan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid di Dewan Rakyat di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 17 Oktober  baru ini agak mencuri perhatian.

Media memberi liputan meluas kepada majlis berkenaan yang diadakan pada hari pertama sidang Dewan Rakyat sesi kali ini.

Perhatian itu sudah dijangka kerana Budiman dan Mastura merupakan ‘selebriti’ kerana kehangatan pilihanraya kecil serentak pada 18 Jun dan kejayaan mengejut mereka berjaya mengekalkan kerusi milik Barisan Nasional dengan majoriti lebih besar berbanding Pilihanraya Umum ke-13 (PRU 13) pada tahun 2013.

Pada Pilihanraya Kecil (PRK) Sungai Besar Jun lalu, Budiman menang dengan majoriti 9 191 undi manakala di PRK Kuala Kangsar, Mastura menang dengan majoriti 6 969 undi.

Kedua-dua Pilihanraya Kecil diadakan berikutan kematian penyandang kedua-dua kerusi, iaitu Datuk Noriah Kasnon dan suami Mastura, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad akibat tragedi nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.

Sebagai Ahli Parlimen, Budiman mungkin dilabel "orang baru" tetapi sebenarnya dalam hal bercakap atau berbahas, beliau adalah orang lama kerana pada waktu sama juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang.

"Saya sudah "pecah telur", kata Budiman ketika ditemui sewaktu rehat sidang Dewan Rakyat.

Ini sudah tentu membuat siapa saja yang mendengarnya terpinga-pinga dan ingin bertanya apa maknanya itu?

Budiman berkata ia bermaksud "bercakap buat kali pertama".

"Kalau di Indonesia, hasil jualan pertama dipanggil "pecah telur". Saya kali pertama bercakap ketika mencelah Timbalan Menteri Pelajaran, P Kamalanathan," katanya dalam nada berseloroh.

Menurut Budiman, oleh kerana sudah biasa berbahas di DUN, beliau tak rasa gemuruh bila bercakap di Dewan Rakyat.

"Saya rasa biasa saja. Cuma sidang Dewan Rakyat lebih terbuka memberi ruang kepada Ahli Parlimen berbeza sidang DUN yang agak ketat dan mengikut masa-masa yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu Mastura pula masih dalam proses "memerhati".

"Saya belum bersedia bersuara. Saya kena perhati dulu apa yang berlaku di dewan. Minggu pertama ini saya lebih suka memerhati dan melihat prosiding. Mungkin minggu kedua saya akan bercakap.

"Kita perlu membuat "homework" sebelum membuka mulut. Kita juga kena bertanggungjawab dengan apa yang kita tuturkan dalam parlimen. Kita bertanggungjawab ke atas pengundi dan rakyat. Apa yang kita perkatakan mesti adil dan tidak nampak memihak.

"Tetapi pada masa sama kita harus membantu menteri-menteri dan Perdana Menteri untuk menjalankan tugas mereka," ujarnya dengan tenang.

Mastura yakin beliau tidak akan menghadapi masalah di parlimen kerana sudah biasa mengkaji peraturan mesyuarat serta membuat kaji selidik untuk arwah suaminya.

Kedua-dua Ahli Parlimen ini bukan calang-calang orangnya. Berdasarkan latar belakang masing-masing, kedua-duanya dijangka tidak akan menghadapi masalah berbahas.

Budiman adalah pemegang ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Malaya (UM) dan ijazah sarjana dalam Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Budiman kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mastura pula adalah seorang peguam dan memperoleh ijazah sarjana muda undang-undang dari Universiti Kent, United Kingdom dan Diploma Undang-Undang Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Mastura bertugas sebagai peguam selama enam tahun sebelum mengambil keputusan untuk bersara dan menumpukan perhatian kepada keluarga dan membantu kerja-kerja politik allahyarham suaminya.

Budiman di segi luaran kelihatan sempoi. Tetapi adakah itu karektor sebenarnya?

"Saya berpegang kepada prinsip, di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung. Kita kena ikut tempat dan suasana.

"Kalau di kampung pendekatan saya berbeza dengan dalam sidang DUN mahupun parlimen. Yang penting, saya nak jadi org yang mudah didekati," kata Budiman yang mengakui banyak menerima tunjuk ajar dan nasihat dalam gerak kerja politik dari Tan Sri Noh Omar.

Mastura pula sentiasa kelihatan tenang di parlimen.

Beliau mengakui banyak menerima tunjuk ajar daripada pengerusi Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad serta Ahli-Ahli Parlimen yang duduk sebaris dengannya seperti Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (Kota Tinggi), Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Setiu) dan Budiman.

Selain tugasan di parlimen, Budiman sekarang sedang sibuk menyelaraskan gerak kerja untuk mempromosikan pelancongan agro dan homestay di kawasannya.

Selain itu Budiman mahu memberi tumpuan kepada membantu meningkatkan taraf pendidikan dan ekonomi pengundi-pengundi di kawasannya.

Selain kerap turun padang, Budiman juga aktif menggunakan kaedah media sosial seperti FB, Instagram dan Twitter untuk mendekati pengundi.

"Saya adalah antara wakil rakyat kampung yang aktif di media sosial terutama di FB, Instagram serta Twitter. Saya saling berhubung dengan pengikut.

Manakala Mastura mahu mempromosikan Kuala Kangsar sebagai destinasi pelancongan bersejarah dan makanan di samping turut memberi perhatian kepada pendidikan dan pertanian.24/10/2016- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL



loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 752  tetamu dalam talian