17Disember2017

14 syarikat dikenakan tindakan melakukan penipuan pakej umrah

Semua agensi perlu memainkan peranan dalam membendung kes penipuan Pakej Umrah dan Ziarah yang semakin berleluasa.
 
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata sehingga kini kementeriannya telah bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam memantau semua aktiviti penipuan pakej umrah.
 
“Pihak Kementerian serius dalam memerangi aktiviti penipuan pakej umrah dan ziarah.
 
“Berdasarkan peruntukan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482], pihak Kementerian telah mengambil tindakan keras melalui pembatalan lesen, menarik balik lesen bidang tertentu dan menyenaraihitamkan agensi-agensi pelancongan dan pengendalian umrah dan ziarah,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
 
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang ingin mengetahui apakah tindakan yang telah diambil terhadap agensi-agensi yang melakukan penipuan terhadap pakej-pakej Umrah.
 
Tambah Mas bagi tempoh dari tahun 2009 hingga 2017, sebanyak 14 syarikat yang melaksanakan aktiviti pelancongan dan pengendalian umrah dan ziarah telah dikenakan tindakan.
 
“Dari jumlah tersebut, sebanyak 11 syarikat telah dibatalkan lesen dan satu syarikat telah ditarik lesen bidang pelancongan luar negara (outbound) setelah didapati bersalah melanggar Akta 482 yang melibatkan elemen penipuan,” katanya lagi.
 
Tambah beliau bagi tahun 2017, notis pembatalan lesen telah dikeluarkan kepada dua buah syarikat kerana telah didapati bersalah melanggar syarat-syarat dibawah Akta 482.
 
Kedua-dua syarikat ini sedang di peringkat rayuan.
 
“Pihak Kementerian juga sedang menyiasat beberapa lagi syarikat yang mengendalikan pakej umrah dan ziarah yang bakal berhadapan tindakan sama jika sabit kesalahan,” ujarnya.
 
Menurut Mas yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, selain daripada tindakan pembatalan lesen, pihak Kementerian juga tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan lesen baru agensi pelancongan dan pengembaraan oleh mana-mana individu-individu yang telah disenaraihitamkan atas kesalahan di bawah Akta 482 termasuk bagi agensi pelancongan pengendali umrah dan ziarah.
 
“Pihak Kementerian juga bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) agar mereka yang telah dikenal pasti ini turut dihalang daripada menubuhkan syarikat-syarikat baru berkaitan pelancongan atau mengambil alih syarikat lain bagi menjalankan aktiviti berkaitan pelancongan.
 
Berikut adalah senarai nama syarikat berkenaan serta tindakan yang telah diambil oleh Kementerian:
 
2009 Warith NY Travel & Tours (Pembatalan Lesen)
2009 Tijaratun Nur Travel & Tours (Pembatalan Lesen)
2010 Qaisar Travel & Tour (Pembatalan Lesen)
2010 Permata El-Nur Travel & Tours (Pembatalan Lesen)
2010 Hijjaz Legend Travel & Tours (Pembatalan Lesen)
2012 J & J Mesra Travel & Tours (Pembatalan Lesen)
2013 Seven Seas Travel & Tours (Pembatalan Lesen)
2014 Yadh Travel & Tours Sdn. Bhd. (Pembatalan Lesen)
2014 ANF Holidays Sdn. Bhd. (Pembatalan Lesen)
2015 Madain Al-Taqwa Travel & Tours Sdn. Bhd.
2015 Irna Yakin Travel & Tours Sdn. Bhd. (Pembatalan Lesen)
2015 Agensi Pengembaraan Asari Murni Sdn. Bhd. (Dilarang menjalankan aktiviti Outbound)
2017 Ukhwah Firdausi Travel Sdn Bhd Notis Pembatalan Lesen (Dalam Peringkat Rayuan)
2017 Imtiyaz Travel & Tours Sdn. Bhd. Notis Pembatalan Lesen (Dalam Peringkat Rayuan)
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 527  tetamu dalam talian