17Ogos2018

Perang ekonomi Amerika-China beri kesan pada Malaysia

Malaysia antara negara yang terkena tempias 'perang ekonomi' antara Amerika Syarikat dan China dan dijangka menjejaskan pasaran tempatan.

Selain Malaysia turut terkeasan adalah Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura dan Vietnam.

Menurut laporan Bloomberg, dengan perang perdagangan semakin memuncak, gelombang untuk mengetatkan dasar-dasar global, pengukuhan harga minyak dan keadaan politik di peringkat domestik, antara faktor-faktor yang akan menjejaskan prospek pertumbuhan di rantau ini.

Ketua Ekonomi Bloomberg Economist di Singapura, Tamara Henderson berkata, ketidakpastian pilihan raya di Indonesia dan Thailand termasuk juga persoalan yang masih berlegar-legar mengenai sejauh mana komitmen pengukuhan fiskal kerajaan baharu Malaysia akan menimbulkan kebimbangan kepada para pelabur di rantau ini bagi sepanjang tahun ini.

“Dengan risiko perang dagangan kini menjadi kenyataan, ia pastinya akan menimbulkan ketidaktentuan dalam pasaran eksport. Malah, pelaburan juga yang turut menerima tekanan daripada dasar monetari yang ketat, dilihat akan menjadi mangsa kepada keadaan ini,” katanya.

Berdasarkan data Bloomberg, Malaysia masih dibelenggu dengan ketidakpastian yang mana kerajaan yang mengambil alih pentadbiran dua bulan lalu, hanya baru bermula memberi gambaran yang jelas mengenai dasar-dasar ekonomi.

Antaranya, struktur cukai jualan baharu yang dirancang akhir tahun ini boleh memperlahankan perbelanjaan pengguna dengan lebih banyak projek infrastruktur ditangguhkan, pelaburan dan prospek perbelanjaan kerajaan juga masih kabur.

Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) menyebabkan para penganalisis mengurangkan unjuran kenaikan faedah di te­ngah-tengah prospek pertumbuhan dan inflasi yang lemah. Untuk itu, sebarang langkah agresif BNM akan menjadi trend serantau dan global.

Menurut Bloomberg, walaupun penganalisis melihat Singapura akan menikmati pertumbuhan ku­kuh tahun ini, tetapi berdepan dengan separuh kedua yang tidak menentu disebabkan keruntuhan pasaran hartanah baru-baru ini yang kemungkinan boleh mengurangkan sentimen dan memperlahankan perbelanjaan pengguna.

Ekonomi Vietnam yang me­nyaksikan perdagangannya me­rangkumi kira-kira 200 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) amat sensitif terhadap sebarang ketegangan yang boleh mengancam rantaian bekalan global.

Di Filipina pula, penembusan inflasi yang jauh melebihi sasarannya memberi tekanan kepada bank pusatnya sama ada perlu menaikkan kadar faedah ataupun tidak. Kenaikan kali ketiga tahun ini dijangka pada 9 Ogos ini.-17/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 437  tetamu dalam talian