26Jun2017

Kisah di sebalik kontroversi kapal korek di Tanjung Tualang

Tanjung Tualang merupakan bekas kawasan perlombongan tetapi hari ini tidak ada apa-apa yang menarik melainkan kewujudan beberapa buah restoren cina yang menyajikan masakan udang galah (yang dianggap signature dish pekan ini) dan sebuah kapal korek lama.

Bagi penduduk di kawasan ini, menjadi kebanggaan mereka apabila ada pihak mengelar tempat yang mereka anggap “pekan koboi” sebagai pekan udang galah (atau Lobster Town).

Pada masa sama juga ia turut menjadi kegilaan para pelancung dari  Singapura setiap hujung minggu datang dan menikmati makanan laut.  Terdapat warga Ipoh sendiri terlepas pandang fakta ini kerana factor geografi-jauh dari bandaraya Ipoh.

Tujuan rencana ini bukan mengenai kesedapan restoren udang galah atau restoren makanan laut tetapi kepada isu yang menjadi pusat kontroversi iaitu kapal korek (Tanjung Tualang Dredge No.5 atau TT5) yang dalam proses dibaikpulih serta bakal dibuka kepada umum.

Popularnya TT5 sehingga ia berjaya menarik perhatian Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) yang turut memasukkan gambar kapal korek ini serta fakta mengenainya dalam web sitenya seperti berikut:

”Pada masa sekarang ini anda masih boleh mengunjungi kesan tinggalan kapal korek ini yang masih terdapat di Batu 5, Jalan Tanjung Tualang, 31000 Batu Gajah. Tinggalan ini adalah dibawah kawal selia Jabatan Antikuiti dan Muzium Perak Darul Ridzuan. Walaupun anda tidak dibenarkan menaiki tinggalan kapal korek ini, namun anda boleh mengambil gambar foto untuk kenang-kenangan anda tanpa sekatan”.

Ia dijangka dibuka kepada umum suku ketiga tahun ini seperti dimaklumkan  Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Datuk Aminudin Hashim. GLC  kerajaan negeri  ini diberi mandat  sebagai pemilik baru.

Dijangkakan pada mulanya dibuka awal tahun ini sempena Tahun Melawat Perak 2017 tetapi sejak dari mula TT5 dipaliti kontroversi dari segenap sudut. Pernah suatu ketika dulu ia terbengkalai sehingga mendapat perhatian pihak media.

Untuk rekod TT5 pernah dimiliki syarikat bernamaSouthern Malayan Tin Dredging (M) Sdn Bhd.  Bayangkan  ianya dibina di England (masa itu Tanah Melayu masih dijajah Inggeris) pada 1938. Kemudian akibat kerosakan dan sebagainya.ia dibina semula  1963 sebelum berhenti beroperasi sepenuhnya 1982.

Kapal korek ini mempunyai keberatan 4500 tan, 75 meter panjang, 35 meter lebar dan mempunyai kedalaman 3.1 meter.

Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa inggeris, TT5 (sebelum itu hanya dikenali sebagai kapal korek no.5) “satu-satunya kapal korek timah di negara kita mungkin pupus dalam tempoh enam bulan sahaja. . . .(kerana) tidak ada dana untuk memperbaiki pontun (platform terapung) pada kapal pengorek timah itu. Kapal itu kini (ketika itu) senget 18 peratus ke arah air di sebelah kanan bahagian bawahnya.”

Akhbar itu memetik  Steven Ng, pengurus Osborne & Chappel Sdn Bhd (OCSB), berkata kecondongan itu berlaku pada November tahun lalu. OCSB bertanggungjawab menguruskan kapal tersebut sebagai salah satu tarikan pelancongan. "Bil elektrik untuk dua pam yang mengepam air keluar sudah mencecah RM1,800 sebulan sejak Disember. . . .jika tiada usaha memperbaiki pontun yang menyokong pengorek timah itu, ia akan sekali gus tenggelam."

Sekadar menyebut sebagai satu rekod, pada ketika zaman “golden age nya” atau zaman kegemilangan pelombongan timah di Perak, ada 40 kapal pengorek timah yang beroperasi di Chemor, Ipoh, Gopeng, Batu Gajah, Papan, Tronoh dan Malim Nawar.

Malangnya kini indastri  bijih dan kapal-kapal korek  macam nasib dinosaur; TT5, yang dibina pada 1938 oleh W.F. Paynee & Sons, satu-satu nya sahaja yang tinggal untuk tatapan sejarah.

Yang aneh isu TT5 cuba disensasi dan dipolitikkan termasuk oleh orang-orang politik. Yang tidak faham pula hairan  mengapa TT5 diserah kepada MB Inc., untuk kerja baik pulih sehingga ada yang bertanya “tahu ke mereka pasal kapal korek  . . . ?

Setengah pihak yang tidak ada fakta melihat dari sudut negatif--dengan TT5 gagal dibuka kepada umum awal tahun ini seperti dijanji secara tidak langsung ia mencacatkan program Tahun Melawat Perak 2017. Benar tetapi tentu ia bersebab mengapa ia gagal dibuka lagi!

Untuk rekod seperti dilaporkan juga, Pengerusi AMANAH Negeri Perak Asmuni pernah mendakwa bahawa TT5 berada dalam “keadaan yang tidak baik dan menyedihkan seperti tidak dijaga.”

(Kenyaaan penuh Asmuni seperti berikut:“Kapal korek ini boleh dijadikan satu tarikan pelancong sekiranya ia dipromosikan dengan baik, kawasan sekitarnya dipelihara dengan baik dan kondisi kapal tersebut haruslah dalam kondisi yang baik untuk dilawat oleh para pelancong. Tetapi apa yang ada pada hari ini, kondisi kapal korek tersebut berada pada kondisi yang tidak baik dan menyedihkan seperti tidak dijaga.

“Pada tahun 2012, peruntukkan sebanyak RM 420 ribu telah diberi untuk kerja-kerja mengapungkan kapal tersebut dan pada tahun 2016 peruntukkan sebanyak RM 30 juta telah diberi untuk kerja-kerja membaiki kapal Tanjung Tualang 5 (TT5) tersebut.

“Apa benda yang mereka buat selama ini? Sejak dari tahun 2012 tiada sebarang perubahan atau kerja naik taraf. Kenapa kuasa pengambil alihan kapal ini diberi kepada Menteri Besar Incorporated (MB Inc)? Apakah kepakaran mereka? Kenapa tidak diberikan saja kepada Jabatan Pelancongan atau Jabatan Muzium?

“Saya mohon kerajaan negeri kaji balik dan lakukan sesuatu kerana kita bimbang sekiranya kapal ini tenggelam kita akan kehilangan satu tapak warisan sejarah,” tambahnya seperti dipetik sebuah portal berita.)

Bagi yang pertama kali membaca mengenai TT5, kerja membaik pulih  pada awal dijangka menelan perbelanjaan sebanyak RM12 juta. Sekira MB Inc., bersetuju dengan kos ini maka kenduri sakanlah pembangkang di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)  dengan antara lain dengan dakwaan bahawa bukti  satu lagi projek pembaziran; dengan kerajaan BN pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Dr.Zambry Abd Kadir dituduh menyalahgunakan wang rakyat.

Dan seperti kebiasaan pembangkang tentu  mahu perkara ini disiasat. Seperti mana berlakui dalam kes MB Inc., itu sendiri, yang dikritik hebat oleh DAP, begitu juga isu TT5 bakal menyusul.

Yang terlepas pandang,  Nga Kor  Ming (ADUN DAP dari Kepayang) pada 25 Nov 2015 bila mengkritik MB Inc., berkata “….. failure by Perak MB Incorporated( MB Inc) to table their account at the state legislative assembly proved that the state body "has everything to hide”.

Tetapi berita gembira buat rakyat Perak ialah MB Inc., berjaya memperoleh syarikat pembaikpulih atau service company yang sanggup membaik pulih TT5 hanya membabitkan kos RM4 juta. Dengan lain erti ia berjaya menyelamatkan kos 70% dari kos asal.

Penjelasan selanjutnya dari CEO MB Inc., memberi pukulan KO kepada mereka yang cuba mensensasikan isu ini. Datuk Aminuddin Hashim memberiahu media:“Jadi kelewatan disebabkan perubahan dalam pelan pemulihan yang mengambil sedikit masa untuk lakukannya dan sekarang ini kerja baik pulih sedang berjalan dan kini telah 80 peratus siap.”

MB Inc., tidak menyorokkan apa-apa rahsia. Kepada rombongan pembangkang diberi ruang melawat TT5. Parti Amanah Neegara (AMANAH) meninjau dari dekat serta diberi taklimat mengenai TT5. Wakil AMANAH negeri Perak termasuk sama Pengerusinya Asmuni Awi, hadir.

Dalam sidang media susulan (bersama Aminuddin) , Asmuni yang juga seorang peguam menjelaskan “ . . . amat menyokong usaha yang dilakukan MB Inc untuk memelihara dan memulihara satu-satunya kapal korek yang masih ada di negara ini. . . . Saya kagum,…saya suka projek ini.”

Katanya “kami datang ke sini bukan untuk kritik tetapi untuk memberi input, Secara personal. saya sukakan projek ini kerana ini satu-satunya kapal korek yang tinggal. TT5 bukan sahaja warisan negeri Perak tetapi boleh jadi warisan dunia.”

Ketika menjelaskan kekeliruan mengenai TT5, Aminuddin meminta  masyarakat umum bersabar kerana ia akan dibuka sebgai  satu  tapak Warisan Kapal Korek di Tanjung Tualang. Kini, ia dalam proses akhir pemulihan dan pembaikan yang dimulakan  awal tahun lalu serta akan “dibuka kepada orang ramai pada suku ketiga tahun ini.”

Benar,ia sepatut menjadi ikon sempena Tahun Melawat Perak 2017, namun pembukaannya terpaksa dilewatkan. Sebab kelewatan itu Aminuddin menjelaskan: kerja membaik pulih pada asal membabitkankan  RM12 juta. Kami mencari alternatif lain untuk mendapatkan kos yang lebih murah dan kerja baik pulih dilakukan pada Mei tahun lepas membabitkan kos RM4 juta.

“Buat masa ini 80 peratus daripada penambahbaikan telah berjalan, sebaik sahaja kami telah memastikan “pontoon” dipasang double plating, dikeringkan dan Siji Keselamatan diperoleh maka barulah kita membukanya kepada orang awam, keselamatan itu menjadi keutamaan kami,” katanya.

MB Inc., akan merujuk kepada pakar kapal korek untuk mengetahui status kestabilan dan faktor keselamatan sebelum dibuka kepada orang ramai.

Sementara itu dakwaan bahawa MB Inc., menerima  dana dari kerajaan negeri  untuk kerja-kerja pemuliharaan adalah berupa satu fitnah. Justeru  tuduhan  Nizar Jamaluddin (Amanah – Changkat Jering) bahawa mereka memperoleh peruntukan  RM10 juta daripada kerajaan negeri adalah tidak betul.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Radzi, MB Inc yang diberi mandat untuk mengawal selia khazanah negeri itu menggunakan bajet melalui wang simpanan mereka sendiri.

“MB Inc., tidak pernah menerima jumlah wang seperti yang didakwa oleh ADUN Changkat Jering, segalanya dilakukan menggunakan dana tersendiri, justeru tuduhan itu adalah tidak berasas,” katanya.-28/4/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 743  tetamu dalam talian