16Disember2017

Apa cerita?...Dr Mahathir sendiri ‘main sorok-sorok’ di Nothing To Hide 2

Nama saja gah ‘Nothing To Hide 2’ konon.Apa sangat yang istimewa program anjuran budak-budak Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bertukar kecoh di Dewan Raja Musa,Seksyen 7 Shah Alam petang Ahad.

Siapa saja yang hadir atau mengikutinya menerusi live video tentu merasa program itu buang masa dan setakat pesta politik  ‘hura-hura’ saja untuk tunjuk jaguh tidak kena tempat.

Ramai yang merasa adalah langkah bijak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melayan langsung cabaran dari budak-budak PPBM untuk berdebat di program itu.

Jangan lupa…Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sewaktu zaman Perdana Menteri selama 22 tahun tidak pernah layan atau hadir pada sebarang cabaran debat oleh pembangkang termasuk semasa zaman kemuncak Reformasi.

Cuma sekarang apabila masuk kem pembangkang beliau sudah tukar warna...merasa debat itu forum terbaik mencari konon kebenaran.

Jika kebenaran yang ingin ditonjolkan…apa kebenaran yang Dr Mahathir sampaikan kepada Nothing To Hide 2 sewaktu tampil seorang diri menjawab soalan dari hadirin.

Setakat ini tidak pasti siapa punya angkara yang mula cetus kekecohan lempar mercun asap,baling kerusi sebagainya…namun kalau diperhatikan jawapan-jawapan bekas Perdana Menteri itu ‘ yang tidak jawab sepenuhnya’ soalan ada main peranan mengundang bibit-bibit kehangatan.

Jawapan-jawapan yang beliau berikan cumalah kitar semula dari majlis-majlis ceramahnya dan juga sidang akhbar yang diberikan selama memusuhi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga setelah jadi ‘top dog’ Pakatan Harapan.

Sebelum insiden kecoh bermula semasa menjawab soalan mengenai isu peristiwa berdarah Memali pada tahun 1985…Dr Mahathir telah membuat hadirin kecewa kerana tidak berani jawab yakni cerita semua sejelas-jelasnya pada soalan mengenai isu liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seorang hadirin yang bertanya soalan itu ingin tahu kisah benar pasal kes liwat itu apakah Anwar betul-betul salah meliwat atau bekas Timbalan Perdana Menteri itu jadi mangsa mainan politik beliau (Dr Mahathir).

Baginya adalah tidak wajar Anwar sebagai banduan bersalah meliwat ditonjolkan sebagai bakal Perdana Menteri Pakatan Harapan.

Kata pemuda yang bertanya soalan itu isu ini yang menjadi perbalahan antaranya dan rakan-rakannya.

Lojiknya ini adalah soalan yang sangat wajar memandangkan Dr Mahathir sendiri yang pernah cakap Anwar tidak layak kangsung jadi Perdana Menteri kerana isu moralnya yang jijik itu.

Namun Dr Mahathir tetap nak main politik selamat kerana beliau kini sudah ada dalam kem Pakatan Harapan…dan jadi Pengerusi pulak.

Maka beliau pun kitar semula jawapan standard yang kita pernah dengar sebelum ini…jangan ungkit kisah lama yang boleh pecah belahkan pembangkang…dan tumpuan kini hanyalah pada usaha tumbangkan Najib.

Bayangkan...kecuali penyokong tegar pembangkang yang sudah gelap mata pekak telinga… siapa yang boleh terima jawapan yang memperbodohkan semua orang ini dari seorang bertaraf negarawan.

Isunya…kalau Dr Mahathir tidak ada yang hendak sembunyi beliau seharusnya secara terbuka berani kata ya atau tidak Anwar memang salah meliwat.

Kita boleh faham…kerana takut geng Pakatan Harapan mengamuk jika beliau berterus terang pasal Anwar meliwat…itulah saja jawapan yang berani beliau berikan.

Bila ditanya pula oleh seorang hadirin lain apakah beliau sedia mohon maaf pada Anwar...Dr Mahathir juga ambil jalan selamat kata dalam pertemuan mereka, Anwar tidak pun tuntut minta maaf.

Orang bodoh pun cukup tahu dalam keadaan saling memerlukan satu sama lain untuk survival politik…Anwar tidak mungkin akan tuntut permohonan maaf itu dari Dr Mahathir.

Lagipun...satu permohonan maaf sudah pasti menjadikanya jatuh bersalah berbohong pada satu Malaysia.

Orang semua tidak mudah lupa...Dr Mahathir sendiri pernah berulangkali kata beliau cukup yakin Anwar bersalah sebelum ambil tindakan singkirnya sebagai Timbalan Perdana Menteri tahun 1998.

Jadi apa yang Nothing To Hide di sini kalau Dr Mahathir sendiri tidak berani beri jawapan terus terang kerana berselindung pada nawaitu politik.

Bukankah itu sudah kira main sorok-sorok.

Itu satu hal.Beliau juga nak main sorok-sorok pasal kuasa politik DAP jika Pakatan Harapan menang PRU14.

Kata Dr Mahathir orang DAP tidak mungkin dapat jadi Perdana Menteri jika mereka menang.

Ini katanya kerana ia perlu dapat persetujuan dari rakan-rakan Pakatan Melayu lain.

Sekarang pun DAP mempunyai kerusi terbanyak…dan mungkin pada PRU 14 pun sama.

Siapa boleh lupa isu kerajaan Perak selama 11 bulan dikuasai DAP dari belakang selepas PRU ke 12 pada tahun 2008.

Oleh kerana DAP tidak ada ADUN Melayu maka Datuk Seri Nizar Jamaluddin dari PAS jadi Menteri Besar Perak selama 11 bulan.

Sebaliknya DAP mempunyai Exco paling ramai dalam kerajaan negeri Perak waktu itu dan dilihat cukup berkuasa dari belakang tabir.

Apa yang jelas kehangatan telah semakin memuncak dikalangan hadirin bila datang soalan pasal isu Memali dari hadirin yakni seorang pemuda.

Lelaki yang memakai cap parti PPBM itu nyata tidak puashati cara kerajaan yang ketika itu Dr Mahathir Perdana Menteri bertindak keatas orang  kampong yang cuma bersenjata pisau dan buluh runcing di Memali,Baling yang akibatkan 14 dikalangan mereka maut.

Dalam peristiwa itu empat anggota polis terbunuh.

Dr Mahathir kata adalah menjadi langkah ikut peraturan (SOP) polis bertindak dalam situasi itu.

Juga perlu disingkap... disebalik insiden Memali ini,bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam mendakwa beliau terpaksa tanggong sendiri kemarahan khususnya ahli PAS kerana dilihat sebagai orang yang buat keputusan agar polis bertindak.

Beliau yang ketika itu turut memegang jawatan Menteri Dalam Negeri mendakwa ketika peristiwa itu Dr Mahathir berada dalam negeri dan bukan di Beijing,China.

Musa membuat dakwaan itu pada satu forum pada 29 Mac 2014.

“Siapa kata dia (Tun Mahathir) di China? Sebenarnya dia di Kuala Lumpur,” kata Musa pada forum itu.

Musa berkata, beliau sendiri memaklumkan kepada Dr Mahathir tentang peristiwa 19 November 1985 itu.

“Malah setahu saya, dua atau tiga hari kemudian baharulah beliau akan ke China. Bagaimanapun, saya sempat memaklumkan kepadanya bahawa peristiwa tersebut sangat serius dan beliau perlu berada dalam negara dengan menyertakan tiga alasan.

“Saya katakan padanya, ini kerana ia melibatkan orang Melayu, dalam sebuah negeri (Kedah), dan jika beliau ke China, ia menunjukkan bagaimana Perdana Menteri mengambil mudah soal ini sedangkan dia sendiri perlu menanganinya,” katanya.

Tindak tanduk kalangan penyokong tegar PPBM di program Nothing To Hide 2 yang bersorak-sorak memuji beberapa jawapan dr Mahathir sebelum itu yang tidak memuaskan hati dikatakan telah membuat ada kalangan hadirin jadi pedih telinga.

Ketika itu bahang tidak enak sudah terasa di dalam dewan.

Suasananya sudah menjadi macam perlawanan bola sepak diselubungi sorak menyorak sebelum kekecohan meletup diselubungi pergelutan serentak kelihatan cahaya api dan kepulan asap dalam dewan itu.

Malah ada pemerhati kata nasib baik juga bagi Dr Mahathir program itu ditamatkan memdadak kerana kekecohan itu.

Jika tidak dijangka banyak lagi soalan panas yang akan dilontar padanya termasuk kegagalan semasa pentabirannya seperti isu BMF,kerugian Bank Negara dalam pasaran tukaran asing,Perwaja,MAS,Proton,kekayaan anak-anaknya.

Ini belum lagi bab didakwa memfitnah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi konon jumpanya pada Ogis 2015 untuk minta bantuan gulingkan Perdana Menteri.

Zahid kata beliau ada rakaman perbualan pertemuan mereka sebagai bukti Dr Mahathir bohong.

Jenuh Dr Mahathir nak bersilat untuk menyorok kalau ditembak dengan soalan-soalan itu.

Seperti yang dijangka puak pembangkang kini sedang ligat sebar dakwaan dan dakyah di media sosial konon UMNO dalangi sabotaj program itu sekalipun belum ada bukti dan polis belum selesai siasat

Datuk Seri Azmin Ali pula sudah main tembak menerusi twitter dakwa Perdana Menteri harus bertanggongjawab keatas insiden itu.

Modus operandi politik mereka mudah dan murah…tuduh saja...betul tak betul belakang kira.- 14/8/2017


PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 917  tetamu dalam talian