20Oktober2017

Negara rugi RM6 bilion setahun akibat pencerobohan nelayan asing - KP Perikanan

Sebanyak 980,000 tan metrik hasil laut negara yang dianggarkan benilai antara RM3 hingga RM6 bilion hilang setiap tahun akibat aktiviti nelayan asing, kata Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan.
 
Beliau berkata dianggarkan hanya kira-kira 50 peratus sahaja hasil laut yang ditangkap di perairan negara didaratkan di Malaysia manakala selebihnya tidak dilaporkan.
 
"Terdapat dua bentuk ketirisan iaitu nelayan asing yang menceroboh perairan negara dan kedua nelayan tempatan yang bersubahat menjual hasil tangkapan mereka kepada nelayan asing," katanya pada sidang media di Putrajaya Isnin.
 
Justeru Ismail berharap kerajaan akan memberikan peruntukan kepada Jabatan Perikanan untuk menambah sembilan lagi kapal penguat kuasa bagi memantapkan operasi terutama di kawasan panas sepanjang Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
 
"Ketika ini jabatan mempunyai 380 orang penguat kuasa dan 40 buah kapal yang kebanyakan telah berusia. Peruntukan diperlukan untuk membaiki kapal sedia ada dan menambah aset baharu," katanya.
 
Mengenai aspek penguatkuasaan, Ismail berkata pada tahun ini, sebanyak 184 kes telah direkodkan jabatan itu melibatkan pelbagai kesalahan antaranya vesel (bot) dan peralatan tidak berlesen, pencerobohan kawasan, penggunaan kru asing dan penggunaan peralatan dilarang.
 
Bagi kes tangkapan vesel, katanya dalam tempoh itu Jabatan Perikanan telah melelong hasil laut berjumlah RM260,351 manakala jumlah kompaun yang dikenakan adalah sebanyak RM423,100.
 
"Jabatan Perikanan juga telah berjaya menahan tiga buah vesel penangkapan ikan asing dengan satu daripadanya dari Thailand dan dua lagi dari Vietnam. Hasil sitaan dianggarkan bernilai RM7 juta," katanya.
 
Dalam pada itu, katanya Jabatan Perikanan bercadang untuk mewajibkan semua kapal nelayan Zon B dan C untuk memasang Sistem Pengesanan Automatik (AIS) bermula Januari tahun depan bagi memudahkan pemantauan pihak berkuasa.
 
"Bagaimanapun perkara itu adalah tertakluk keputusan Kabinet," kata Ismail sambil menambah sebanyak 2,630 AIS telah diberikan secara percuma kepada bot pukat tunda Zon B dan C di seluruh negara pada tahun lepas.- 19/6/2017
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 596  tetamu dalam talian