18November2017

TPM Zahid lawat kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar...umum bina hospital medan

Komitmen Malaysia untuk bantu etnik Rohingya yang ditindas di Myanmar bukan setakat bersuara kepada dunia isu itu serta beri bantuan kemanusiaan dan sebagainya.
 
Isnin,Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi sendiri turun padang tinjau keadaan di kem pelarian Rohingya di Kutupalong dekat Cox's Bazar di sebelah sempadan Bangladesh -Myanmar.
 
Pada lawatan berkenaan beliau umum Malaysia akan bina sebuah hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bernilai RM3.5 juta di kem pelarian itu. 
 
Katanya hospital itu akan dibina dalam tempoh sebulan.
 
"Hospital ini akan mempunyai 50 katil. Ia akan dibina oleh kor perubatan angkatan tentera dan Kementerian Kesihatan," katanya.
 
"Kami telah pun mendapatkan kebenaran daripada Perdana Menteri Bangladesh sendiri Sheikh Hasina dan kelulusan ini telah diberi kepada Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur pada saya, ATM dan Kementerian Kesihatan.
 
"Dalam tempoh sebulan hospital medan itu akan beroperasi sepenuhnya," katanya.
 
Sementara itu Timbalan Perdana Menteri berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan bertindak sebagai penyelaras bantuan kemanusiaan yang disalurkan kepada etnik Rohingya di kem-kem pelarian di Bangladesh.
 
Katanya dengan adanya MKN bertindak sebagai penyelaras bantuan, beliau tidak fikir akan timbul kebimbangan bantuan itu tidak sampai kepada matlamatnya.
 
"Ini bukan kali pertama lawatan saya ke kem pelarian. Saya telah pergi (kem pelarian) beberapa negara seperti tetapi keadaan di sini lebih daif.
 
"Berikutan keadaan daif di sini (kem pelarian), saya menyeru rakyat Malaysia keseluruhannya agar sama-sama terus hulurkan bantuan. Ketua Pengarah MKN Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan MKN akan koordinasi supaya bantuan sampai kepada kumpulan sasaran," katanya.
 
Zahid berkata dengan adanya penyelarasan oleh MKN segala bantuan badan bukan kerajaan (NGO) dapat diselaraskan termasuk untuk membeli barang-barang keperluan.
 
"Dari segi makanan saya tengok World Food Programme United Nations telah ada, dari segi perubatan IOM (Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran) telah ada. Saya ucapkan terima kasih pemimpin-pemimpin NGO yang mengambil peduli dengan nasib pelarian Rohingya di sini," katanya.
 
Katanya kerajaan juga menggalakkan individu sama ada jururawat, doktor dan pembantu hospital untuk berdaftar dengan MKN bagi menyelaraskan kedatangan mereka ke Cox's Bazar ini untuk membantu.
 
Zahid berkata Malaysia merupakan antara negara terawal menghantar bantuan untuk pelarian Rohingya di Cox's Bazar khususnya di Kem Kutupalong dan telah sekurang-kurangnya tiga kali bantuan dalam bentuk makanan dan keperluan lain.
 
"Malaysia komited untuk terus hantar bantuan-bantuan ini melalui MKN dan juga lima NGO terbesar yang telah berada di Cox's Bazar dan mereka akan terus memberikan bantuan.
 
"Hari ini saya sendiri telah turun untuk memberi barangan yang diperlukan lima NGO ini. Bantuan bernilai US$100,000 (RM420,000) diberi oleh seorang dermawan dari Malaysia kepada NGO. Kita juga berterima kasih kepada kerajaan negeri yang telah membantu kita," katanya.
 
Sementara itu, pada majlis berasingan di South Kuthubdia, Timbalan Perdana Menteri menyampaikan sumbangan berjumlah 400,000 taka (RM20,463) bagi menyiapkan Masjid Baitul Sallah.
 
Sumbangan itu merupakan projek di bawah program MyCorps, satu projek sukarelawan melibatkan belia-belia Malaysia.
 
Sewaktu di kem pelarian Rohingya Kutupalong itu, Timbalan Perdana Menteri melihat sendiri keadaan kem yang beliau sifatkan sangat daif selain bertemu dengan pelarian.
 
Beliau yang diiringi Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot turut melawat dan melihat operasi beberapa sekolah dan klinik yang disediakan di kem itu untuk pelarian Rohingya.
 
Untuk rekod, hanya terdapat dua kem rasmi bagi pelarian Rohingya iaitu Kutupalong dan Nayapara tetapi ada berpuluh-puluh lagi kem sementara yang diwujudkan oleh pelarian sendiri dan jumlah itu bertambah dari hari ke hari.-16/10/2017
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 948  tetamu dalam talian