20Oktober2017

Misteri amukan Prebet Adam disingkap semula selepas 30 tahun

Hampir 30 tahun yang lalu, pada malam 17 Oktober 1987, seperti pengakuannya sendiri menjadi 'malam yang sial' buat Prebet Adam Jaafar.

Anak muda yang baru berkhidmat dengan ATM ini, menggegarkan negara selepas mengamuk dengan membawa bersama senjata M-16 miliknya.

Dia lari sambil menembak membuta tuli dan telah terkena beberapa orang mangsa di tengah2 KL.

Esoknya, sejarah tercipta apabila 'down town' KL yang sentiasa sesak dan sibuk menjadi sunyi dan lenggang.

Seorang pun tidak dibenarkan masuk ke Chow Kit kerana keadaan tegang itu.

Penembak tepat polis telah ditempatkan di merata bangunan bagi mengesan Prebet Adam.

Sehinggalah Adam dikesan di Wisma Sabaruddin dan beliau dipujuk untuk menyerah kepada pegawai atasannya yang berpangkat Brig Jen ketika itu Datuk Abdul Ghani Abdullah.

Adam ditahan pihak tentera selama beberapa jam tapi diserahkan kepada polis.

Mitos yang berkembang, bahkan sehingga kini adalah, Prebet Adam mengamuk selepas kematian adik kesayangannya.

Kononnya adik Prebet Adam merupakan seorang ‘caddy’ atau kepada seorang keluarga diraja ketika itu.

Ketika Baginda bermain golf, adik Prebet Adam ini telah tertawa kecil melihat bola golf yang tidak masuk lubang pada jarak sejangkal.

Terkenal dengan sifat panas baran Baginda bertindak dengan menghayunkan kayu golfnya ke kepala adik Prebet Adam.

Dan secara tidak diduga, adik Prebet Adam mati ditempat kejadian.

Disebabkan pada ketika itu Raja-Raja Melayu masih mempunyai kuasa kekebalan, maka Baginda terlepas. Kecewa dengan keadaan tersebutlah yang menyebabkan Prebet Adam mengamuk.

Benarkan begitu?

Pada Isnin lalu, selepas 30 tahun, dalam majlis Diskusi Buku Kisah Benar Prebet Adam, buat kali pertama, dua pesonaliti yang terlibat langsung dengan peristiwa amukan Prebet Adam dihimpunkan.

Yang pertama Lef.Jen (B) Datuk Abdul Ghani Abdullah, pegawai tentera yang berjaya memujuk Adam dan sekaligus menyelamatkan nyawa lelaki tersebut dan peguam bela terkemuka yang membela Adam Tan Sri Shafee Abdullah.

Bertempat di Yayasan Harapan Budi Bukit Persekutuan Kuala Lumpur, kedua-duanya bersama penulis buku Konfesi Prebet Adam Syahril Kadir terlibat dalam satu majlis diskusi buku terbiutan Dubook Press itu.

Menurut Syahril memang benar adik perempuan Adam meninggal dunia semasa usianya masih muda.

“Dia meninggal dunia di depan mata Adam apabila rumahnya di Pulau Pinang terbakar dan dia ditimpa sisa kebakaran.

“Dia melihat sendiri bagaimana adiknya mati. Dia bukan mati disebabkan terkena kayu golf yang dihayungkan oleh sultan,” tambah Syahril.

Syahril mengakui beliau turut dipengaruhi khabar angin itu.

Manakala jelas peguam bela Adam, Tan Sri Shafiee Abdullah, tidak ada satupun keterangan di mahkamah yang merujuk adik Adam adalah kedi atau melibatkan pihak Istana.

"Sebenarnya Adam mengamuk kerana dibuli, beliau seorang yang amat mencintai pekerjaannya, masih muda dan berasal dari keluarga yang miskin. Adam menjadi mangsa buli yang teruk di dalam kem di Ipoh, termasuk yang paling beliau tidak boleh tahan adalah dipaksa menghisap zakar orang bukan Islam.

"Beliau mengalami masalah ingatan, sekejab ingat, sekejab lupa, dan beliau ke Kuala Lumpur untuk mengadu kepada pegawai atasannya (mengenai kejadian buli).

Menurut Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Abdul Ghani Abdullah yang bertanggungjawab memujuk Adam menyerah diri ketika itu, Adam tidak mempunyai masalah ketika tiba di ibu kota.

“Dia pergi ke restoran, menyaksikan perlawanan bola sepak di televisyen dan kemudian kembali ke hotel.

“Masalahnya bermula apabila pemilik hotel bertanyakan bayaran penginapan yang kemudiannya menimbulkan kemarahan Adam.”

Ketika itu, tercetusnya drama yang menjadikan Chow Kit gempar. Adam berlari sambil melepaskan tembakan secara rambang yang membunuh seorang mangsa.

Ghani berkata pagi Isnin itu bermula seperti biasa, sehinggalah saat beliau menerima panggilan telefon dari pasukan operasi pertahanan.

“Saya ketika itu bertugas sebagai pegawai operasi kakitangan dan saya diminta untuk memujuk Adam sebelum tindakan lain diambil.

“Saya diperintahkan untuk ke Chow Kit diiringi pegawai risikan,” kata Ghani.

Beliau berkata, pihaknya tiada rancangan bagaimana memujuk Adam yang ketika itu 23 tahun, untuk menyerahkan diri.

“Ia berlaku sekelip mata.”

Menurut Ghani, beliau terpaksa memperoleh kepercayaan Adam dengan menunjukkan dirinya tidak bersenjata dan sebagai penggalak keyakinan Adam, beliau tidak memakai jaket kalis peluru.

“Ia suasana yang tegang kerana dia terlatih dan tenang. Dia kelihatan bersedia untuk menyerang bila-bila masa.

“Saya kena bijak, saya tidak cuba merampas senjatanya, tetapi memujuk agar meletakkan senjatanya dan kemudian menyolang tangannya ke belakang.

“Adam kemudian mengambil balik senapang itu. Apa yang membuat saya berdebar adalah ia masih mempunyai 27 peluru yang bersisa.”

Ghani berkata susuk tubuhnya tidak padan dengan Adam yang muda, gagah dan berbadan sasa.

“Saya memegang tangannya, menyilang ke belakang dan kemudian merebahkan badannya.

“Tetapi dia menolak, seolah-olah dia berlawan. Dia masih dalam keadaan keliru,” kata Ghani.

Akhirnya, Adam menyerah diri kepada pihak atasannya selapas mencetuskan sejarah “Amukan Prebet Adam”.

Syahril mengakui beliau turut dipengaruhi khabar angin amukan Adam kerana kematian adik perempuannya.

“Selama 30 tahun, kita disogokkan cerita Prebet Adam mengamuk kerana adik perempuannya dibunuh sultan.

“Sebagai wartawan, saya turut percaya sehinggalah satu hari saya memuat naik soalan di Facebook: Apakah benar insiden itu bagi membalas dendam kematian adik perempuannya di tangan seorang sultan?”

Beberapa jam selepas soalan itu dimuat naik, Syahril menerima panggilan daripada seseorang yang berkata beliau bersama Adam, lelaki sama yang mencetuskan huru hara pada 1987 itu.

Beliau kemudian ke Pulau Pinang untuk berjumpa Adam, dan mendapati lelaki itu kini sudah berusia, menjangkau 50 tahun tetapi keadaan fizikal menyerupai seorang berusia 60 tahun.

Dalam pertemuan itu, Adam yang merupakan gelandangan, menceritakan kisah benarnya, dan berkata dia disisihkan masyarakat dan keluarganya.

Dia turut menafikan cerita mengenai sultan.

“Ia tidak benar, tiada kaitan,” kata Adam kepada Syahril.

"Adam yang mahu saya menulis buku ini untuk menerangkan kepada orang ramai hakikat sebenar berkaitan perkara ini,"ujar Syahril.

Diskusi buku tersebut dianjurkan oleh Pertubuhan Bina Bangsa dengan kerjasama Yayasan Harapan Budi, Angkatan Karyawan Nasionalis (AKAR) dan Dubook Press.-9/8/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 536  tetamu dalam talian