21Ogos2017

Orang Kaunter dan kisah-kisah yang tak dianggap...

Mengikut perangkaan rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada 2015 sebanyak 3.176 juta pelancong berkunjung ke Sabah.

Dari jumlah itu 2.19 juta adalah pelancong tempatan manakala selebihnya dari luar negara.

Jumlah itu sudah tentu membawa pulangan yang besar kepada industri pelancongan negeri Sabah yang mula dikembangkan dengan giatnya di zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sabah yang terkenal dengan jolokan Negeri Dibawah Bayu memang menjanjikan berbagai tarikan untuk pelancong.

Baik yang suka pelancongan tanah tinggi, pulau, taman negara dan juga taman marin, Sabah ada semuanya.

Kewujudan banyak syarikat penerbangan yang menawarkan tambang murah dan memudahkan lagi mobiliti sosial turut merancakkan kehadiran pelawat ke negeri tersebut.

Baru-baru ini, saya membeli sebuah travelog 'Orang Kaunter' yang merupakan himpunan enetdot seorang pegawai imigresen yang bertugas di kaunter perlepasan Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Rafi Harumin.

Bacaan santai, Rafi menulisnya secara bersahaja berbagai pengalaman berurusan dengan orang ramai.

Tajuknya sudah menarik, Trevelog Seputar Kubikal Orang Kaunter, tidak seperti buku kisah pengembaraan lain, Rafi menulis pengembaraannya dari stesen kerjanya.

Anekdot-anekdot dalam buku ini ringkas dan bersahaja. Ia merupakan himpunan 'cerita-cerita tidak anggap' atau yang terjadi hari-hari, tapi dihimpunkan menjadi satu catatan pengalaman yang padu.

Ada satu kisah di mana En.Imigresen kita berdepan dengan wanita cantik, mereka berbual hal biasa di kaunter sementara dokumen di periksa, dan orang yang seterusnya adalah suami wanita itu yang mukanya masam mencuka.

"Lelaki ini serius, dinginnya melampau. Dia nampak seperti marah, juga seperti tidak berminat. Apabila ditanya sepatah, sepatah dia menjawab. Dengan saya, beliau merenung dalam-dalam."

Katanya siap dokumen diproses, lelaki itu berlalu, sambil menjeling tajam kepadanya dan memegang bahu wanita yang awal tadi, mungkin isterinya.

"Wah cemburunya bukan main," kata Orang Kuanter.

Berbagai kisah yang diceritakan secara bersahaja bergenai pengalamannya, contohnya ketakutan keterlaluan terhadap orang asing, di mana ada orang yang tiba-tiba memberitahu dia supaya berhati-hati dengan pelancong lain, yang beratur tidak jauh darinya, memberi amaran seolah-olah mereka itu teroris, wahal yang sebenar dua remaja itu keliru samada hendak tunjuk pasport atau kad pengenalan di kaunter imigresen itu.

Cerita pertemuan semula dengan cikgu lamanya, kisah seorang ibu yang memujuk anaknya untuk melihat pegawai imigresen dengan kata-kata 'Baby say hi to Abang..."

Kisah seorang wanita yang apabila diminta dokumen pengenalan diri, tiba-tiba berlari keluar dan datang semula tidak lama kemudian dengan wajah kepenatan, ketika ditanya kenapa, jawabnya terambil kad pengenalan suami.

Kisah-kisah begini dan serupa dengan ini menjadi inti buku setebal 130 muka surat terbitan Studio Anai-Anai.

Saya mengambil masa kurang dua jam untuk membaca keseluruhan buku ini, dan menjadi modal ketawa ketika mengenang semula untuk beberapa hari kemudian.

Pembukuan pengalaman merupakan sesuatu yang penting dalam tamadun manusia.

Kisah begini mungkin menjadi gurau senda ketika dibaca hari ini, tapi menjadi kajian terhadap sikap bangsa untuk 30 tahun lagi.

Kita sering mendengar kritikan ahli akademik Malaysia mengenai kurangnya buku yang menceritakan pengalaman penjawat awam ketika berkhidmat atau selepas berkhidmat.

Pengkongsian pengalaman 'Orang Kaunter' yang santai ini mungkin permulaan untuk penulis yang lebih serius berkaitan tanggungjawabnya.

Saya pernah membaca buku tulisan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Wan Mansor Wan Abdullah bertajuk 'Yang menurut perintah' terbitan Arkin Negara.

Buku tersebut membuka horizon pemikiran saya mengenai kakitangan awam dan tanggungjawab mereka samada dari kumpulan sokongan ataupun pegawai kerajaan ataupun pegawai tadbir diplomatik.

Buku seharusnya bersifat begitu, ia meluaskan pemikiran pembacanya, dan saya percaya buku 'Orang Kaunter' sedikit sebanyak membantu ke arah itu.

Kerana di lapangan terbang, 'Orang Kaunter' merupakan individu pertama yang ditemui pelancong, ataupun individu terakhir yang ditemui sebelum berlepas pulang.

Saya masih ingat dan membandingkan pengalaman di kuanter imigresen Uzbekistan, Mesir, Pakistan dengan Singapura, Thailand, Indonesia, dan Hong Kong.

Ingatan tersebut kerana ketika kita masuk ke negara asing, orang pertama yang kita temui memberikan 'first impression' terhadap negara tersebut.

Adalah penting untuk negara ini menyediakan 'orang kaunter' yang terlatih seperti 'orang kaunter' di negara yang mana pelancongan merupakan penyumbang besar KNDK negara itu seperti New Zealand dan Belanda.

Saya percaya pengkongsian pengalaman adalah permulaan untuk tujuan tersebut, tahniah Rafi Harumin dan Studio Anai-Anai dan semoga lebih banyak penjawat awam berkongsi kisah mereka, untuk kami, yang bukan dari perkhidmatan tersebut memahami 'titik bengek' di sebalik setiap kerja itu.-12/4/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 689  tetamu dalam talian