23Oktober2018

Cari titik persamaan bukan perbezaan - Agong

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mahu ahli-ahli Dewan Rakyat kerajaan dan pembangkang mencari titik persamaan bukan perbezaan dengan bekerjasama, untuk kesejahteraan rakyat dan survival negara.

Bertitah merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada Selasa Agong menyeru semua pihak akur dan berlapang dada, tidak emosional, tidak mewarnai pemikiran bermodal fitnah dan sentimen melulu, sempit serta tertutup.

"Beta percaya Ahli-ahli Yang Berhormat akan mengambil bahagian dalam perbahasan yang sihat, matang, dapat merangsang dinamik berfikir, bukan untuk mencari pihak yang benar tetapi untuk menemukan apa yang baik lagi benar, memberi cadangan, teguran dengan penuh berhemah dan bijaksana, penuh kesopanan bertatasusila, supaya institusi Parlimen terus dihormati, dipandang tinggi oleh rakyat dan dunia luar," titah baginda.

"Beta berharap semua pihak hendaklah berusaha melakukan penjernihan yang ikhlas dan sungguh-sungguh bagi mewujudkan perpaduan yang tulen lagi murni. Mencari titik persamaan bukan perbezaan dengan bekerjasama, untuk kesejahteraan rakyat dan survival negara," titah baginda.

Sebelum itu, dalam titahnya Agong menyambut baik pendekatan kerajaan dalam menegakkan ketelusan, terutamanya dengan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang sebenar, mengkaji semula perbelanjaan, kos projek dan mengurus kewangan secara berhemat.

Baginda turut menyokong tindakan kerajaan memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), menstabilkan harga minyak dan memberikan bantuan sara hidup kepada golongan sasaran yang diharap dapat meringankan beban rakyat.

Baginda juga berharap semua kejayaan, pencapaian serta pengiktirafan dalam pelbagai bidang yang dicapai negara sebelum ini dapat dipertingkat.

Bertitah di hadapan anggota-anggota Parlimen yang telah mengangkat sumpah semalam, baginda turut menyentuh cabaran-cabaran yang mendepani rakyat dan negara seperti ekonomi global, konflik politik, krisis kemanusiaan pada peringkat antarabangsa dan ancaman fahaman radikal serta era Revolusi Perindustrian 4.0.

"Justeru, beta mengalu-alukan sebarang inisiatif melalui penggubalan dasar, strategi dan kerangka perundangan untuk mendepaninya. Beta berharap faedah yang diperoleh bukan hanya aspek ekonomi tetapi meliputi aspek sosial dan lain-lain," baginda bertitah.

Dalam pada itu, titah baginda lagi kepatuhan kepada ajaran agama dan nilai-nilai murni tidak harus diabaikan dan semua pihak hendaklah lebih serius menangani gejala sosial dan elemen-elemen negatif yang boleh merosakkan masyarakat dan negara.

"Dalam hal ini, semua lapisan masyarakat, organisasi kerajaan, badan bukan kerajaan dan golongan ilmuan perlu duduk semeja untuk mencari penyelesaian atas masalah-masalah berbangkit," titah baginda.

Baginda turut menyeru agar perpaduan serta keharmonian dalam kalangan rakyat terus dipelihara dan diperkukuh serta elemen-elemen negatif dan tindak-tanduk yang mengganggu-gugat kesepaduan perlu dibanteras dan menghentikan ungkitan terhadap isu-isu sensitif antara kaum.-17/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 400  tetamu dalam talian